Latar belakang Pandemik COVID-19 di Asia Tenggara

Pandemik COVID-19 ini disebabkan oleh koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2 )[2].Pandemik ini mula dikenal pasti di Wuhan, Hubei, China pada Disember 2019 dan diisytiharkan pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020[3].Sehingga 25 Disember 2020, sebanyak 79,729,121 kes telah direkodkan di 218 negara dan 2 buah kapal persiaran antarabangsa dengan sebanyak 56,125,78 kes sembuh, 1,749,340 kematian dan 21,854,023 kes aktif yang direkodkan di seluruh dunia[4].

Virus ini kebanyakannya merebak di dalam komuniti melalui cara yang sama dengan influenza, iaitu dengan titisan pernafasan daripada batuk dan bersin[5].Tempoh inkubasi bagi virus ini kebiasaannya 5 hari, tetapi boleh berubah kepada dua hingga empat belas hari[6]. Simptom bagi penyakit ini kebanyakannya demam, batuk kering dan sukar bernafas[5]. Komplikasinya termasuklah pneumonia dan sindrom pernafasan akut teruk[5]. Tiada lagi vaksin buat masa sekarang tetapi kajian sedang dijalankan[6]. Oleh itu, pelbagai cara pencegahan disarankan kepada masyarakat seperti membasuh tangan, menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin, penjarakan sosial dan kuarantin diri selama 14 hari setelah disyaki positif virus ini[6][5].